PETRONAS
n

Media Releases - 2015

12/9/2015

PROGRAM PEMERKASAAN WANITA MENDAPAT SAMBUTAN PENDUDUK PENGERANG


PENGERANG, 12 September 2015 – Seramai 150 orang penduduk wanita dari sembilan buah kampung sekitar Pengerang hadir memeriahkan Program Pemerkasaan Wanita atau ‘Women Self-Empowerment Programme’ anjuran Kompleks Bersepadu Pengerang PETRONAS (PIC) yang berlangsung di Sekolah Agama Taman Bayu Damai hari ini.

Program yang julung kali dianjurkan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang kegiatan jenayah terutamanya yang membabitkan golongan wanita, serta langkah-langkah keselamatan agar tidak menjadi sasaran penjenayah. Program ini mendapat sokongan daripada pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Persatuan Isteri-isteri Kakitangan dan Kakitangan Wanita PETRONAS (PETRONITA) Daerah Selatan dan klinik-klinik kesihatan sekitar Pengerang. 

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, DSP Ashmon Bajah. Turut hadir ialah Ketua Sekuriti Kumpulan PIC, Haji Jamaluddin Abdullah.

Antara program-program yang telah dijalankan ialah sesi senamrobik oleh jururawat dari klinik kesihatan yang mengambil bahagian dan ceramah Sayangi Dirimu oleh Pegawai Psikologi Klinikal Hospital Permai Johor Bahru, Norhameza Badrudin. 

Penganalisa jenayah dan penceramah bebas terkenal, Kamal Affandi Hashim juga hadir untuk berkongsi pengetahuan tentang kategori jenayah yang melibatkan golongan wanita serta  langkah-langkah keselamatan dan pencegahan yang boleh diambil.

Selain itu, para peserta program juga didedahkan kepada seni asas mempertahankan diri dibawah kendalian Jabatan Keselamatan Korporat Kumpulan PETRONAS yang bertujuan bagi meningkatkan keyakinan diri para peserta apabila berhadapan dengan ancaman dan situasi yang berbahaya.

Naib Presiden dan Pengarah Usahaniaga, Kompleks Bersepadu Pengerang PETRONAS (PIC), Juniwati Rahmat Hussin berkata, “Program Pemerkasaan Wanita ini merupakan salah satu initiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PIC di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial, satu platform yang dibentuk bagi mewujudkan komuniti bersatu dan bermuafakat dalam menangani pelbagai isu, kesan daripada pembangunan yang pesat di kawasan Pengerang.

“Kaum wanita di Pengerang harus mengambil peluang ini untuk menambah pengetahuan tentang jenayah yang berkaitan, peka dan sensitif dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya terutama sekali apabila berada di luar kawasan rumah. Pengetahuan dan pendedahan yang diterima melalui program ini juga boleh dikongsi dengan ahli keluarga agar mereka turut mendapat manfaat demi menjaga kebajikan dan keselamatan diri masing-masing,” tambah Juniwati dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Haji Jamaluddin. 

Selain Program Pemerkasaan Wanita, program lain yang dianjurkan oleh PIC bagi memperkasa dan meningkatkan kualiti kehidupan serta mendekati masyarakat setempat di Pengerang adalah Seminar Keusahawanan bersama Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), PETRONAS All About Youth, Young Scientists @ Pengerang dan Majlis Qurban sempena Hari Raya Aidil Adha. 



Dikeluarkan oleh:

Perhubungan Media
Komunikasi Strategik Kumpulan 
PETRONAS

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Taufik Atman
+603 2392 5463
taufik.atman@petronas.com.my